Thursday 4 October 2012

IBADAH SOLAT TETAP WAJIB KEATAS PESAKIT


Ana tidak begitu bagus dalam penulisan , lagi-lagi yang melibatkan hukum hakam . Setelah berusaha "walking blog " ana telah menemukan sesuatu info yang boleh kita kongsikan bersama...menarek sangat catatan ni...cubalah baca sahabat sahabatku.

IBADAH SOLAT TETAP WAJIB KEATAS PESAKIT
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

SUSAHLAH! Tidak mengapa di rumah boleh qada! Surau jauh! Tak bawa telekong. Dah lama tidak sembahyang. Tidak tahu caranya dan tidak selesa hendak solat. Semua ini adalah antara alasan yang ditemui menerusi satu kajian yang mendapati hanya 20 peratus daripada pesakit muslim yang berada di wad-wad hospital bersolat. 

Kajian oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) ini mendapati angka itu sebenarnya meningkat berbanding 15 peratus pada tahun lalu.

Fenomena ini tidak menghairankan kerana ada pihak hospital mendakwa Tuhan lebih mengetahui mengenai hamba-Nya yang sedang sakit. Lantas ini dijadikan alasan mereka. 

Namun satu perkara yang jelas, kata Presiden PPIM, Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, semua tanggapan dan alasan itu adalah tidak benar. Katanya, selagi seorang itu beragama Islam, waima dalam keadaan sedar dan waras, maka tuntutan melakukan solat terhadap mereka adalah wajib.

"Malah jika dalam keadaan sakit, bermakna hubungan orang muslim perlu lebih didekatkan dengan Allah melalui solat.

"Jika mereka percaya kuasa penyembuhan ada pada Allah, maka wajiblah mereka bersolat dan beribadat terhadap-nya. Walaupun setelah melakukan pelbagai usaha rawatan, kita tetap berserah dan bertawakal kepada Allah.

"Semoga dengan solat dan doa munajat pesakit itu, mereka diizinkan Allah untuk tabah menghadapi sakit dan akan sembuh," katanya sewaktu ditemui di Pusat Rawatan Islam An Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini. 

Dr. Abdul Latiff berkata, perkataan uzur tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan alasan untuk pesakit tidak melakukan ibadat.

"Bersolat itu adalah satu kaffarah ke atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan selama ini," katanya. 

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Tidaklah seorang muslim ditimpa atau keletihan atau kerisauan atau kedukacitaan atau permasalahan walaupun berupa duri (yang mengenai) melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mungkin timbul persoalan bagaimana pesakit yang dalam pelbagai keadaan rawatan dapat mengambil wuduk dan melakukan ibadat.

Ini termasuklah kes anggota wuduknya seperti tangan atau kaki dalam keadaan berbalut, luka yang tidak boleh terkena air, pesakit sentiasa dalam keadaan berhadas, pesakit yang dalam keadaan terbaring, sehinggalah kepada ibu yang hampir-hampir hendak bersalin. 

Dalam hal ini, kata Dr. Abdul Latiff, pelaksanaan syariat itu terbahagi kepada dua jenis. Pertama, azimah yang merupakan hukum yang menyeluruh untuk semua mukalaf dan untuk semua keadaan tanpa kecuali. 

"Hukum yang kedua ialah rukhsah, satu keringanan yang disyariatkan kerana keuzuran melampau termasuk sakit dan sedang menjalani rawatan dan pemulihan," katanya.

Firman Allah dalam surah Al Haj, ayat 78 bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Rukhsah membolehkan pesakit yang anggota wuduknya berbalut atau bertampal plaster, terutama muka, tangan dan kaki, hanya perlu menyapukan air ke atas balutan itu.

BERWUDHUK
Cara ini mencontohi kisah yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib: "Salah satu sendiku patah. Aku bertanya Nabi Muhammad mengenai cara berwuduk. Baginda menyuruhku menyapu air ke atas pembalut di bahagian yang patah itu. (Riwayat Ibnu Majah dan Al Dar Qutni)

"Ada juga disebutkan selain menyapu air di bahagian yang berbalut itu, pesakit juga perlu bertayamum," kata Dr. Abdul Latiff. 

Namun ada pendapat lain mendakwa tidak wajib seseorang pesakit itu bertayamum sekiranya dia membasuh anggotanya yang sihat dan menyapu balutan itu dengan air.

Menurut Dr. Abdul Latiff, jika anggota wuduk pesakit luka, mengalami penyakit kulit dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak boleh terkena air, pesakit perlu bertayamum. 

Pesakit yang tidak boleh menggunakan mana-mana cara sama ada menyapu air atau bertayamum kerana boleh memudaratkan pesakit (seperti terbakar seluruh badan), mereka hendaklah melakukan solat dalam keadaan tidak bersuci (berhadas).

Bagi pesakit yang sentiasa dalam keadaan berhadas, iaitu memakai colostomy bag (beg menampung najis) atau continous bladder drainage (salur tiub kencing), mereka juga tidak terkecuali daripada mengerjakan ibadat.

"Sebelum berwuduk seperti biasa, mereka perlu terlebih dahulu menanggal atau membuka salur atau beg plastik yang berisi najis itu dan digantikan dengan yang baru atau dibersihkan beg tersebut. Kemudian dibersihkan juga bahagian tempat keluar najis itu," katanya.

Jelas beliau, jika najis keluar semasa pesakit melakukan solat, pesakit boleh meneruskan solat tersebut.

"Najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat," katanya.

Selain soal wuduk, beberapa perkara lain juga perlu disesuaikan sebelum pesakit dapat mengerjakan solat mereka. Ini termasuklah soal aurat yang perlu dijaga selagi terdaya.

"Pakailah pakaian yang memadai asalkan ia boleh menutup aurat. Jika tidak mampu mintalah pertolongan orang lain untuk menutupnya," katanya. Begitu juga mengenai arah kiblat, pesakit perlu berusaha untuk mencari arah itu.

"Tetapi jika tidak boleh mengubah kedudukan seperti solat atas katil wad, terpaksa berbaring dan sebagainya maka menghadaplah ke arah mana yang termampu," katanya.

Yang pasti, walaupun terpaksa menanggung kesakitan atau menjalani rawatan intensif, selagi pesakit dalam keadaan waras dan sedar mereka masih wajib mengerjakan ibadat solat.

"Namun dalam beberapa aspek diringankan perkara seperti menyapu air, bertayamum dan seterusnya pesakit boleh melakukan solat mengikut keadaan yang terdaya.

"Ini termasuklah sama ada secara duduk, baring, mengiring dan melalui kerdipan mata," kata Dr. Abdul Latiff.

Beliau tidak menafikan bagi menjayakan ibadat, seseorang pesakit itu perlu dibantu.

"Kita tidak bermaksud untuk menambah tugas jururawat tetapi jika pesakit perlukan bantuan wajiblah mana-mana pihak membantu mereka termasuk mengingatkan waktu solat.

"Bagi jururawat wanita, mereka boleh memakai sarung tangan bagi mengelakkan batal air sembahyang semasa mengendalikan pesakit lelaki," katanya.

Dr. Abdul Latiff berharap lebih banyak hospital dapat menyediakan pegawai-pegawai agama dan buku-buku panduan mengerjakan solat bagi membolehkan pesakit muslim melaksanakan ibadat itu. 



DIANTARA PERALATAN YANG PERLU KITA BAWA KETIKA DIMASUKKAN KE WAD SELAIN DARI PERALATAN PENJAGAAN PERIBADI :



1. AL-QURAN TERJEMAHAN 




Al-Quran terjemahan yang mudah dibawa bersaiz kecil ( ikut kemampuan mata untuk membaca )



2. TELEKONG HARIAN ATAU TELEKONG MUSAFIR ( dalam beg yang bersaiz keci )


mudah dimasukkan kedalam beg : beg nya bersaiz kecil saja.

3. SEJADAH YANG RENGAN / TUALA / KAIN YANG BERSEH 


Sejadah yang rengan
4. SARUNG LENGAN  DAN SARUNG KAKI ( jika boleh disarungkan )


sarung lengan yang biasa dipakai oleh muslimah

Semoga dengan perkongsian ilmu ini akan menjadi bimbingan disaat-saat kita perlu lalui....
Jadikanlah diri kita orang yang berilmu dan beramal dengan nya...jangan letakkan diri kita dikalangan orang yang tidak berilmu tetapi mahu beramal takut-takut segala amalan kita tidak diterima malah menjadi kemudaratan pada diri kita.



PESANAN UNTUK DIRIKU DAN SAHABAT-SAHABAT YANG DIKASEHI..

Melalui pengalaman ketika sakit berada didalam wad....
Ana telah melihat beberapa orang pesakit tidak menjaga solat dan aurat mereka...mungkin mereka tidah mempunyai ilmu atau tidak mengambil iktibar apa yang sedang mereka hadapi.Ana ingin berpesan kepada diri ana dan sahabat -sahabat  : CARILAH DAN TUNTUTLAH ILMU UNTUK DIAMALKAN KETIKA DIRI KITA TERLANTAR SAKIT DENGAN UJIAN DARI ALLAH.

1. BELAJARLAH BACA AL-QURAN YANG SEBAIK MUNGKIN.
2. FAHAMKAN HUKUM -HUKUM FIQH BERKAITAN DENGAN AURAT ,WUDHUK DAN SOLAT.
3. BERSEDIA DENGAN ZIKIR-ZIKIR HARIAN UNTUK MENGISI MASA-MASA YANG TERLUANG.


INGAT LIMA PERKARA
Print
 Image Menjadi lumrah manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia apabila diberi ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong telinga, maka akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.

        Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia mempunyai maksud disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak mempercayainya, munafik apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah lantaran dituruti runtunan hawa nafsu.

        Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara   sebelum datangnya lima perkara.  
  Pertama : masa sihat sebelum sakit.
 Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).
 Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. 
 Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan
 kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).         

        Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
        Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu.
         Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.

         Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.

         Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T.

         Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.

        Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.

        Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.

        Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.

        Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.
        Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran."

Mohon maaf jika artikal ini menyinggung hati sesiapa....sekadar ingat mengingatkan...

Tuesday 2 October 2012

DETIK-DETIK PERINGATAN ALLAH UNTUK DIRI KU

bersama insan-insan tersayang...suami dan ibu tersayang

Dari Abu Dzar Al Ghifari radhiallahuanhu dari Rasulallah SAW sebagaimana beliau riwayatkan dari Rabbnya Azza Wajalla bahawa Dia berfirman :

" Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah menetapkan haramnya (kezaliman itu) diantara kalian, maka janganlah kalian saling berlaku zalim."

"Wahai hamba-Ku , semua kalian adalah sesat kecuali siapa yang Aku beri hidayah , maka mintalah hidayah kepada-Ku niscaya Aku akan memberikan kalian hidayah "


saat-saat diuji dengan kesakitan pada 28hb sept -30hb sept 2012

" Wahai hamba-Ku , kalian semuanya kelaparan kecuali siapa yang Aku beri kepadanya makanan, maka mintalah makan kepada-Ku niscaya Aku berikan kalian makan "

" Wahai hamba-Ku , kalian semuanya telanjang kecuali siapa yang Aku berikan kepadanya pakaian , maka mintalah pakaian kepada- Ku niscaya Aku berikan kalian pakaian "

" Wahai hamba-Ku , kalian semuanya melakukan kesalahan pada malam dan siang hari dan Aku mengampuni dosa semuanya, maka mintalah ampun kepada-Ku niscaya akan Aku ampuni "

" Wahai hamba-Ku , sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kalian lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang kalian berikan kepada- Ku"

wajah seorang suami yang setia dalam kesabaran ketika isterinya terlantar sakit
Alhamdulillah, Alhamdulillah , Alhamdulillah....! Allah telah memberi kepadaku peringatan sebelum ajal datang menjemput...InsyaAllah akan ku isikan sisa-sisa kehidupanku ini dengan amal ibadah yang terbaik sebagai bekalan kehidupan diakhirat...Aamiin.




SYARAHAN KITAB AL-HIKAM : HIKMAH 37

" ALLAH TELAH ADA DAN TIADA SESUATU BERSAMA-NYA , DAN DIA KINI SEBAGAIMANA DIA TELAH ADA "

Pelajaran yang boleh diambil dari hikmah ini :

Allah pencipta segalanya , Dia telah ada sebelum segalanya. Segalanya adalah makhluk kepada- Nya. Dia adalah Rabb , Tuhan ,Pencipta, Pengatur, Penguasa, Penjaga , Pemberi rezeki dan Pemilik segalanya. Allah adalah wujud yang hakiki, sementara manusia ada kerana diciptakan oleh-Nya.

Demikianlah hakikat yang tidak akan berubah , manusia akan tetap menjadi hamba, dan Allah akan selama-lamanya menjadi satu-satunya yang haq untuk disembah. Sedar atau tidak, beriman ataupun tidak manusia tetaplah hamba kepada Allah, jika hati manusia tidak ingin mendengar perintah Allah, maka jantungnya akan sentiasa berdenyut dan berhenti atas perintah-Nya.

"Tidak ada sesiapapun dilangit dan dibumi melainkan ia akan datang kepada ( Allah) Ar-Rahman , sebagai hamba " ~ surah Maryam : 93

Jika demikian hakikat kita sebagai manusia dan hakikat segala benda yang ada di dunia ini jika dibandingkan dengan Allah, maka patutkah kita menyembah selain Allah, mengharap kepada selain Allah, meminta kepada selain Allah, meyakini keabadian selain Allah.


nota dari pengajian tasawuf
bimbingan Ustaz Barry ,
Surau al-Ulum,syek 9,

Kota Damansara, Selangor.

Sunday 30 September 2012

SYARAHAN KITAB AL-HIKAM : HIKMAH 36


" CAHAYA AKAL AKAN MEMPERLIHATKAN KEDERKATAN-NYA DARIMU , MATA HATI AKAN MEMPERLIHATKAN KETIADAANMU DIHADAPAN-NYA, DAN PANDANGAN HAKIKI HANYA MEMPERLIHATKAN KEBERADAAN-NYA, BUKAN KETIADAANMU DAN BUKAN JUGA KEBERADAANMU "


Pelajaran yang boleh kita ambil dari hikmah ini :

Allah menjadikan akal manusia sebagai syarat mutlak wajibnya beribadah , ibadah dan ketaatan hanya diwajibkan bagi orang-orang yang memiliki akal. Akal juga adalah salah satu jambatan yang menghubungkan manusia kepada Sang Pencipta , yang mengajarkan manusia untuk mengenal kewujudan Allah . Allah akan membawa kita pada suatu keyakinan bahawa Allah s.w.t dekat dengan kita, kemana pun kita pergi, dimanapun kita berada Dia sentiasa mendengar , Dia sentiasa melihat , Dia sentiasa mengawasi.

Mata hati yang disinari dengan kimanan dan penyerahan diri pada Allah , akan sentiasa merasakan bahawa segala amal kebaikan yang manusia lakukan adalah tawfiq ataupun kemudahan yang datang dari Allah , bukan sekadar perbuatan yang manusia lakukan kerana memilki masa, kekuatan dan keinginan.

" Dan mereka berkata ; segala puji bagi Allah yang telah memberikan kami petunjuk kepada perkara ini , dan kami tidak mungkin mendapatkan petunjuk seandainya Allah tidak memberikannya kepada kami " 
~ surah al_A`raf : ayat 43.

Hidayah dari Allah bermula dari usaha manusia untuk mendapatkannya, dan Allah hanya memberikannya kepada orang-orang yang Dia cintai.


nota dari pengajian kelas tasawuf
bimbingan Ustaz Barry
surau al-Ulum , syek 9, Kota Damansara
Selangor 

SYARAHAN KITAB AL-HIKAM : HIKMAH 35

" ASAL DARI SEMUA MAKSIAT , KELALAIAN , DAN SYAHWAT ADALAH MERASA PUAS DENGAN ( KEBAIKAN ) DIRI SENDIRI , DAN ASAL DARI SEMUA KETAATAN , KESEDARAN , KESUCIAN JIWA ADALAH TIDAK MERASA PUAS DENGAN ( KEBAIKAN ) DIRI SENDIRI.
BERSAHABAT DENGAN ORANG BODOH YANG TIDAK MERASA PUAS DENGAN ( KEBAIKAN ) DIRINYA , LEBEH BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG PANDAI YANG PUAS DENGAN ( KEBAIKAN ) DIRINYA , DAN KEBODOHAN APAKAH YANG DIMILIKI OLEH ORANG BODOH YANG TIDAK PUAS DENGAN ( KEBAIKAN ) DIRINYA SENDIRI ? "


Pelajaran yang boleh kita ambil dari hikmah ini :

Puas dengan keadaan diri sendiri , merasa cukup dengan kebaikan yang pernah dilakukan adalah penyebab utama munculnya sifat-sifat yang terpuji, orang yang puas dengan dirinya sendiri akan sentiasa menganggap dirinya baik, dan orang yang sudah menganggap dirinya baik akan dikuasai oleh kelalaian, dan orang yang hatinya lalai tidak akan memperhatikan bisikan-bisikan syahwat , ia akan dengan mudah terjerumus ke dalam jurang maksiat , kerananya Allah s.w.t mengingatkan :
" Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa "  ~ al-Najm : ayat 32



nota dari pengajian kelas tasawuf
bimbingan Ustaz Barry
Surau al_Ulum , syek 9 . Kota D`mansara,


Friday 6 July 2012

SYARAHAN KITAB AL-HIKAM : HIKAM 34


" KELUARLAH DARI SIFAT-SIFAT MANUSIAMU , DARI SETIAP SIFAT YANG BERTENTANGAN DENGAN MAKNA KEHAMBAANMU , SUPAYA ENGKAU MUDAH MENJAWAB PANGGILAN KEBENARAN DAN DEKAT DENGAN KEHADIRAN-NYA "

Pelajaran yang boleh kita diambil dari hikmah ini :

Allah swt menciptakan manusia dengan rupa yang sangat sempurna , memberikannya bekal berupa akal , hati dan perasaan yang semua itu akan diterjemahkan menjadi sikap dan perbuatan , semua sifat yang dikurniai Allah kepada manusia pada asalnya adalah sifat yang bermenafaat bagi kehidupan manusia didunia , namun kesemuanya mesti diarahkan kepada tujuan utama diciptakannya manusia , iaitu menghambakan diri kepada Allah swt.

Jika hawa nafsu menguasai kehidupan seseorang , merasa diri paling benar , lalai , kehilangan rasa takut pada Allah swt dia telah jauh dari makna kehambaan kepada Allah, RasulAllah s.a.w  bersabda :

" Tidak sempurna iman salah seorang diantara kalian sehingga hawa nafsunya tunduk kepada ajaran yang aku bawa ". : [ al-arbain al- Nawawiyah ]

Tugas berat manusia dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang hamba menuntutnya untuk menghilangkan sifat-sifat yang tidak bersesuaian dengan darjat dirinya sebagai hamba. Dan jika rasa ketundukkan berganti dengan kesombongan , keikhlasan berganti dengan kebanggaan , penyerahan diri berganti dengan kegelisahan , adakah nilai kehambaan yang maseh tersisa ?


nota dari kelas pengajian tasawuf
bimbingan Ustaz Bari
surau al-Ulum , Syek 9
kota Damansara , Selangor